BOLING TENPIN PIALA PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN 2017 ERAT SILATURAHIM STAF USM

Bowling 5232

SEBERANG JAYA, 14 Januari 2017 - Dalam mengeratkan hubungan antara staf, Kelab Kebajikan dan Sukan Staf Kejuruteraan (KKSSK), Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Boling Tenpin Piala Pengarah Kampus Kejuruteraan 2017 di sini hari ini.

Pertandingan lebih teruja apabila Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed serta Penasihat Undang-Undang, Dr. Khairul Anuar Che Azmi, Bendahari, Dr. Rohayati Mohd Isa dan Dekan-Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan turut bertanding.

Bowling 5132 1
Ketibaan Naib Canselor, diikuti oleh Pengerusi Kelab Kebajikan & Sukan Staf Kampus Kejurutrraan (KKSSK), Pengarah Kampus Kejuruteraan dan Timbalan Naib Canselor (HEPPA)

Naib Canselor, berkata program itu merupakan sesuatu yang menarik. "Sudah lama kita tidak  bermain bersama-sama seperti hari ini", katanya.

Asma turut mengucapkan tahniah kepada Kampus Kejuruteraan yang bukan sahaja berjaya menjayakan program riadah seperti ini malah banyak menyumbang dalam penerbitan.

Beliau berucap dalam pertandingan boling berkenaan yang diadakan di Megalanes, Megamall Penang, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Bowling 5277

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, program seperti ini penting kerana bukan sahaja dapat mengumpulkan staf malah mengeratkan ukhwah.

"Kita bukan hanya dapat berkumpul dalam satu kelompok sahaja tetapi kita berjaya mengumpulkan staf akademik dan bukan akademik", katanya.

Menurutnya lagi, sebagai manusia kita perlu bermasyarakat dan mendapatkan rehat serta beriadah.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada KKSSK dan semua yang terlibat dalam menjayakan program.

Bowling 5287

Sementara itu, Pengerusi KKSSK, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria pula berkata, program sebegini adalah platform terbaik untuk staf akademik bersantai bersama staf sokongan USM melalui pendekatan acara sukan.

Menurutnya yang juga Pengarah, Pusat Penyelidikan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), pihaknya telah lama memikirkan untuk menganjurkan program tersebut dan akhirnya berjaya dilaksanakan pada hari ini.

Pertandingan ini menyaksikan seramai 60 orang pemain dari kumpulan pengurusan dan profesional mewakili 20 pasukan berentap bagi merebut Piala Pusingan Pengarah Kampus Kejuruteraan 2017.  

Bowling 5540

Pasukan dari zon 3 (PPKEE, PPKT, Desasiswa Lembaran dan CEDEC) dan menggelarkan diri mereka sebagai "Wifi B" berjaya menjadi johan dengan jatuhan pin sebanyak 1423 serta berjaya membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan hamper.

Pertandingan turut disertai oleh peserta kumpulan pelaksana dan johan adalah dari pasukan Mekanik 3 dengan jatuhan pin sebanyak 1359.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Nor Faizullah Nor Azha