TINGKATKAN TOLERANSI DAN KERJASAMA DEMI KEJAYAAN BERSAMA – PENGARAH KAMPUS

Artikel REDACNIBONG TEBAL, 21 Julai 2017 – Kakitangan Pejabat Pengarah Kampus dan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai Dan Saliran Bandar (REDAC), Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) disaran meningkatkan toleransi demi kejayaan bersama di masa akan datang.

3

Berikut adalah seperti yang disampaikan oleh Pengarahnya, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dalam ucapan beliau ketika Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri REDAC dan Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan di Bukit Jawi Golf Resort hari ini.

4

Azazi turut menekankan bahawa kunci kepada semangat kerjasama yang kukuh antara warga kampus adalah dengan menjaga hubungan baik di antara satu jabatan dengan jabatan yang lain.
 
“Semoga hubungan baik yang dipraktikkan secara dua hala ini akan dijadikan contoh oleh jabatan-jabatan luar dan seterusnya mencerminkan imej positif kampus kita kepada komuniti setempat,” tambah Azazi.
 1
Selain daripada itu, Azazi sempat menyuarakan hasrat beliau untuk melihat aktiviti yang seperti ini akan dapat diteruskan dan dianjurkan secara tahunan di masa akan datang.
 
Pengerusi Kelab Kebajikan & Sosial REDAC (KKSR), Encik Syafiq Shaharuddin berharap agar majlis yang dianjurkan dapat menjadi satu kesempatan kepada semua yang hadir untuk berkumpul bersama keluarga sambil merapatkan silaturrahim diantara rakan setugas.
 
“Disamping itu, diharapkan juga agar setiap yang hadir menikmati kegembiraan dalam rasa kasih sayang seperti yang cuba diketengahkan oleh barisan ahli jawatankuasa penganjuran majlis ini,” tambah beliau lagi.

2

Majlis yang pertama kali dianjurkan di luar Kampus Kejuruteraan USM ini menyaksikan lebih daripada 200 kehadiran tetamu dan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Dekan-dekan Pusat Pengajian,Ketua, Pengarah-pengarah Pusat Kecemerlangan, Ketua-ketua Jabatan Kampus Kejuruteraan dan juga Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafee Abdul Samad.
 
Di majlis yang sama, Azazi turut mengambil kesempatan dengan memohon salam kemaafan kepada semua hadirin memandangkan beliau akan berangkat ke Mekah bagi menunaikan fardhu haji pada penghujung Ogos ini.
 
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman