JBPM USUL KERJASAMA PENGAJIAN SAINS KEBOMBAAN DI USM

bomba DSC2413

NIBONG TEBAL, 4 Oktober 2016 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membawa usul untuk bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang sains kebombaan.

Penolong Naib Canselor, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata USM sentiasa terbuka dan mengalukan kerjasama yang dihasratkan oleh JBPM bukan sahaja dalam memberi peluang kepada anggota dan pegawai bomba untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi malah boleh diperluaskan kepada masyarakat.

“Saya melihat banyak peluang kerjasama yang boleh dilaksanakan antara USM dan JBPM, bukan sahaja dalam pengajian dan pembelajaran malah boleh juga dalam penyelidikan dan kursus-kursus jangka pendek”, katanya dalam perbincangan awal dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Ahmad Farhan berkata, pihaknya akan melakukan sedikit kajian dan rangka kerja sebelum merancang untuk perbincangan lanjut dijangka pada bulan November tahun ini.

bomba DSC2416

“Saya yakin, banyak perkara yang kita boleh laksanakan bersama dan pasti jika dirangka dengan baik ia akan menjadi lebih menarik”, tambahnya lagi.

“Kita boleh lihat kepada benda baharu yang dapat memberikan nilai tambah yang tinggi kepada universiti dan jabatan bomba”, kata Ahmad Farhan yang juga merupakan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam.

Ahmad Farhan dalam ucapan akhirnya turut mencadangkan untuk menawarkan program yang sama ke peringkat global sekiranya USM dan JBPM telah bersedia dan mempunyai program yang mantap.

Sementara itu, Pengarah JBPM, Negeri Pulau Pinang, Tuan Hj. Azmi Tamat berkata, pihaknya amat berbesar hati dan mengharapkan resolusi daripada Ketua Pengarah, JBPM itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

bomba DSC2420

Jelas Azmi, pihaknya akan membawa semua hasil perbincangan dan maklumat yang diperolehi ke Ibu Pejabat dalam masa terdekat.

Sebelum itu, beliau menyatakan bahawa ramai dalam kalangan anggota dan pegawai bomba yang menyambung pengajian tetapi kebanyakannya bukan dalam bidang yang selari dengan tugas kebombaan.  

Turut hadir ialah Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Ir. Dr. Mohd Zulkifly Abdullah, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dan pegawai dari JBPM, Negeri Pulau Pinang.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Muhammad Sarif Mhd. Rapia