LAMAN SESAWANG PEJABAT PENGARAH BUKA LEMBARAN BARU PERKHIDMATAN USM

DirWeb DSC3632

NIBONG TEBAL, 20 November 2016 - Laman Sesawang Pejabat Pengarah yang dilancarkan baru-baru ini telah membuka lembaran baru kepada perkhidmatan yang ditawarkan universiti kepada warga kampus dan masyarakat.

Menurut Penolong Naib Canselor, Kampus Kejuruteraan,  Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, universiti perlu lebih kreatif dalam menghadapi persaingan yang lebih mencabar dengan peruntukan yang semakin kritikal dan kos yang meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita mempunyai pelbagai fasiliti yang boleh ditawarkan kepada pelanggan dalaman mahupun luaran", katanya.

Beliau mengharapkan agar Pejabat Pengarah dapat menghasilkan impak yang positif dengan pembangunan laman sesawang tersebut seterusnya mencapai KPI yang telah ditetapkan sebelum menjelang tahun baharu yang bakal hadir tidak lama lagi.

"Saya yakin, selepas ini, laman yang dibangunkan bukan sahaja bermula tetapi berkembang sebagai penyedia maklumat malah lebih daripada itu", tambahnya lagi.

Jelasnya, pada masa ini dilihat bahawa laman sesawang yang baik adalah laman yang banyak menggunakan infografik dan dapat menarik perhatian pelawat.

"Bagi saya, laman yang dapat menarik perhatian dan mencapai tahap keberkesanan pasti akan menang", tambahnya.

Bercakap kepada staf Pejabat Pengarah dalam ucaptama Makmal Pemurnian Pembangunan Laman Web Pejabat Pengarah di sini semalam, semua pihak perlu memikirkan juga bagaimana untuk menjana pendapatan apabila berlaku pengurangan peruntukan sebanyak RM150 juta pada Januari 2017.

Pengarah Kampus yang juga merupakan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam itu turut menasihatkan supaya warga kampus dapat melakukan sesuatu melangkaui ruang lingkup tugasan hakiki.

"Saya harap semua staf dapat mempelbagaikan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan impak yang positif kepada universiti", katanya mengakhiri ucapan.

Dalam masa yang sama beliau turut menyeru agar Pejabat Pengarah dapat memperbanyakkan latihan dan penambahan ilmu untuk staf Pejabat Pengarah khususnya pada masa hadapan.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin