KAYUHAN 60 LAGENDA UiTM BUKTI KESERAKANAN, KEBERSAMAAN
NIBONG TEBAL, 22 September 2016 - Kayuhan 60 Lagenda Sempena Sambutan 60 Tahun Penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan pelepasan keempat di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini membuktikan hubungan keserakanan dan kebersamaan antara kedua-dua buah universiti awam.
Program yang berlangsung secara serentak dengan pembahagian kepada empat zon iaitu utara bermula dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan berakhir di Perak, zon pantai timur bermula Machang, Kelantan,Terengganu dan Pahang, zon selatan bermula dari Pasir Gudang, Segamat, Melaka dan berakhir di Negeri Sembilan dan tidak ketinggalan bagi negeri Sabah & Sarawak.
Menurut Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Sr. Dr. Md Yusof Hamid berkata, tujuan program kayuhan tersebut adalah untuk mengumpulkan alumni dan mengeratkan hubungan silaturahim bekas pelajar dengan pelajar dan staf.
Tambahnya lagi, semua 12 kampus negeri seluruh Malaysia terlibat dalam program ini dan kemuncaknya mereka akan menyerahkan bendera pelepasan di UiTM Puncak Alam, Selangor.
“Harapan saya kepada program ini bukan sahaja untuk menerapkan kesedaran kepada warga kampus mengenai kewujudan UiTM yang hampir 60 tahun malah dapat memberi sumbangan yang signifikan dalam pendidikan serta pengajaran supaya ia dapat dirasai oleh masyarakat setempat serta dapat membantu bumiputera dalam pendidikan”, katanya.
Katanya, jumlah terkini alumni UiTM adalah sebanyak 600,000 orang yang pasti dapat memberi sumbangan tenaga dalam bidang profesional dan kemasyarakatan.
Bercakap mengenai hubungan keserakanan dan kebersamaan universiti awam, beliau berkata, dari sudut mobiliti pengajaran universiti dapat berkongsi kepakaran dari segi tenaga pengajar dan pengajaran secara fleksibel dalam bidang yang sama.
“Dalam hal ini, kita mungkin boleh membuat pertukaran tenaga pengajar seperti staf USM dipinjamkan ke UiTM manakala UiTM dipinjamkan ke USM serta boleh juga melaksanakan pengajaran secara fleksibel dalam bidang yang sama dengan mengambil mod-mod kursus yang bersesuaian dan berkongsi peralatan”, katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Penolong Naib Canselor serta pengurusan universiti dengan memberi kerjasama UiTM bagi tujuan pelepasan serta meraikan kayuhan 60 lagenda ini.
Seramai 15 orang peserta dalam kalangan staf dan pelajar Kampus Kejuruteraan menerima kunjungan lebih 120 orang peserta UiTM dengan berkayuh mengelilingi kampus sehingga ke Bandar Baharu sebelum mereka berlepas pulang ke UiTM Seri Iskandar, Perak.
Turut hadir semasa majlis pelepasan ialah Rektor, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof. Madya Dr. Mohd. Fozi Ali, Timbalan Pendaftar Kampus Kejuruteraan, Puan Rohilatifah Harun serta pegawai-pegawai dari UiTM dan USM.
Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin