Skip to main content

Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan USM

PENGARAH MULAKAN LAWATAN 100 HARI PERTAMA

Lawatan Pengarah 9630

NIBONG TEBAL, 7 Januari 2016 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah hari ini memulakan program lawatan 100 hari pertama beliau selepas menerima tanggungjawab menerajui kampus bermula 1 Januari 2016 yang lalu.

Menurut Ahmad Farhan yang juga merupakan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam itu berkata, lawatan tersebut antaranya adalah untuk berkenalan dengan kakitangan universiti dan berbincang secara lebih teliti mengenai peluang penjimatan serta penjanaan kewangan.

“Kita perlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan hasrat dan perancangan universiti tercapai”, jelasnya selepas membuat lawatan ke Pejabat Kualiti dan Akreditasi, Pusat Rancangan Ko-Kurikulum dan Bahagian Media, Pejabat Pengarah.

“Antara lainnya, saya ingin melihat urus tadbir semasa dari segi peningkatan prestasi”, katanya lagi.

Menurutnya lagi, semua maklumat yang diperolehi hasil daripada lawatan itu nanti akan digunakan untuk seratus hari pertama beliau dan mengharapkan supaya ianya dapat difahami secara keseluruhan dari segi kemampuan jabatan sebelum merancang.

Lawatan Pengarah 9614

“Saya kira, cabarannya jelas iaitu bagaimana kita perlu menguruskan universiti dengan bajet yang kurang tetapi dalam masa yang sama mempunyai harapan dan sasaran yang lebih tinggi terhadap kecemerlangan kampus”, kata Ahmad Farhan.

“Ini merupakan permulaan dan saya berhasrat untuk membuat lawatan ke semua PTJ dan kampus ini”, tambahnya lagi.

Ahmad Farhan yang sebelum ini pernah mengetuai beberapa jabatan bukan sahaja dalam universiti malah di luar universiti termasuk pernah memegang jawatan sebagai Pengarah, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut mengakui bahawa tahun 2016 adalah tahun yang agak mencabar.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut melihat kemudahan dan prasarana di jabatan terlibat termasuk Kompleks Dewan Kuliah serta menerima aduan yang perlu diberi perhatian segera.

Teks: Mohd Kamil Ashar
Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin