PERALIHAN SISTEM ANALOG KE DIGITAL, PEJABAT PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN ANJUR KURSUS PENGENALAN DIGITAL AUDIO MIXER
NIBONG TEBAL, 13 November 2024 – Dalam usaha memperkukuh kemahiran staf selari dengan perkembangan teknologi terkini, Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Kursus Pengenalan Digital Audio Mixer.
Seramai 20 orang staf dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Kursus Pengenalan Digital Audio Mixer yang diadakan di Dewan Kuliah 7.
Sesi teori kursus telah disampaikan oleh Encik Ahmad Mohammad Foaed dan Encik Bani Faidzzainami Baniyamin manakala sesi praktikal, yang melibatkan penggunaan langsung Digital Audio Mixer, dikendalikan oleh Encik Mohd Zahir Hj Yaakob.
Masing-masing merupakan Penolong Jurutera di Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan USM selaku jabatan yang penganjur program.
Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada staf mengenai teknologi Digital Audio Mixer, yang akan menggantikan Analog Audio Mixer dalam pengendalian sistem audio universiti.
Selain daripada itu, kursus yang melibatkan PTJ seperti Pejabat Pengarah, Pusat Islam, dan Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) ini juga bertujuan untuk memperkenalkan staf kepada teknologi digital yang lebih canggih serta efisien.
Berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang, kursus ini menggabungkan sesi teori dan praktikal untuk memastikan peserta dapat memahami serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dengan berkesan.
Sepanjang kursus dilaksanakan, peserta turut didedahkan kepada beberapa teknik penting dalam mengoperasikan Digital Audio Mixer, termasuk cara menggunakan pelbagai fungsi yang terdapat pada peralatan tersebut.
Fungsi-fungsi ini membolehkan staf menyesuaikan tetapan audio mengikut keperluan, sekaligus memastikan kualiti bunyi yang optimum peralatan tersebut dalam pelbagai simulasi senario majlis atau acara.