PROGRAM LATIHAN DAN PENGGAYAAN TINGKATKAN INTEGRITI DAN NILAI VOKASIONAL STAF
NIBONG TEBAL, 22 Ogos 2024 — Penganjuran program Latihan dan Penggayaan Staf oleh Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) diharap dapat menjadi medium dalam memperkukuhkan integriti sambil meningkatkan kemahiran vokasional pesertanya.
Mewakili Pengarah Kampus, Penolong Pendaftar Kanannya, Encik Mohd Kamil Ashar menyatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memastikan staf dapat memenuhi standard profesional yang tinggi dalam setiap tugas yang dilaksanakan.
“Ianya adalah langkah penting dalam memperkuat kesatuan dalam organisasi kita,” jelas beliau.
"Malah, program ini juga dirancang untuk menyeru semua peserta menghayati ilmu dan pengalaman yang dikongsikan oleh para penceramah jemputan,” tambah Kamil.
Sesi latihan dan pengayaan staf dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi ‘Sayangi Organisasi Mantapkan Intergriti Diri’ dan ‘Tahsin Bacaan Surah Al-Fatihah dan Kefahaman serta Hubungan Setiap Makna Surah dalam Kehidupan’.
Sesi-sesi tersebut disampaikan oleh pensyarah dari Institut Perguruan Maktab Tuanku Bainun, Encik Mohammad Naufal Azid @ Aziz, dan guru agama dari Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Al-Fadhil Ustaz Mat Tabrizi Shabudin.
Program bagi sesi pertama itu bertujuan untuk memotivasikan staf agar lebih bersemangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka serta menjalin hubungan kerja yang lebih baik dengan rakan sekerja.
Manakala, pelaksanaan program Tahsin Bacaan Surah Al-Fatihah pula dijalankan untuk meningkatkan kecekapan peserta dalam bacaan Surah Al-Fatihah melalui teknik tahsin sekaligus memberikan kesan positif terhadap pemahaman individu dalam ajaran Islam serta penerapannya dalam kehidupan.
Program yang dijalankan selama sehari itu dihadiri oleh 23 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Pejabat Pengarah, Jabatan Bendahari, Jabatan Keselamatan, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti dan Unit Bahagian Pengurusan Akademik Jabatan Pendaftar.
Teks: Siti Faizah Abd Halim & Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri) / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman