HOBIKAN KERJAYA! – PENGARAH KAMPUS
NIBONG TEBAL, 20 Mei 2017 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria menyarankan kepada semua kakitangan untuk menjadikan kerjaya sebagai hobi.
Berikut adalah seperti yang dinyatakan beliau ketika Bengkel Perancangan Strategik Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan USM di Pulau Pangkor, Perak di sini hari ini.
“Dengan kapasiti yang kita ada, saya mohon kepada semua yang hadir untuk menjadikan kerja kita setiap hari di Pejabat Pengarah sebagai hobi yang kita lakukan tanpa mengenal erti penat dan putus asa.
“Kita juga perlu sentiasa mewujudkan perasaan ikhlas serta bersemangat dari dalam diri dan saya yakin kita mampu untuk mentransformasikan pejabat kita ke arah yang lebih cemerlang selepas ini,” tambah Azazi.
Azazi yang pernah bekerja dengan syarikat Kajima Corporation di Singapura sebaik selesai menduduki peperiksaan Certificate of Education (MCE) sebagai buruh kasar ini menuntut agar setiap yang hadir untuk menghargai setiap rezeki serta peluang yang ditentukan oleh Allah S.W.T.
“Sifat saya yang tidak suka meminta-minta walaupun kepada kedua ibu dan bapa saya sendiri membuatkan saya lebih senang untuk mencari duit dengan bekerja walaupun susah dan setiap perkara yang diperolehi melalui titik peluh sendiri itu sebenarnya adalah suatu kemanisan,” tambah Azazi.
Oleh kerana kesukaran pengalaman yang demikian, menjadikan beliau sentiasa dalam keadaan bersedia untuk mencorak serta menerajui Pejabat Pengarah dan Kampus Kejuruteraan USM ke arah yang lebih cemerlang kerana menurut beliau kesusahan itu adalah sebahagian daripada cabaran dalam kehidupan.
Bengkel yang diadakan selama dua hari ini melibatkan kakitangan Pejabat Pengarah dengan jumlah keseluruhan penyertaan adalah seramai 19 orang.
“Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan ketika bengkel berlangsung, kita berharap agar setiap seorang dariapada ahli keluarga kita akan lebih memahami akan tanggunggjawab kita di USM dan dalam masa yang sama meningkatkan kompetensi kerja kita yang pelbagai,” tambah beliau yang juga merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai Dan Saliran Bandar (REDAC) USM ini.
Menurut Pengarah lagi, kakitangan juga perlu sentiasa menjaga nama baik USM dalam setiap tindakan yang dilakukan memandangkan ianya adalah satu nama besar di Malaysia.
“Perkara ini adalah seiring dengan status Accelerated Programme for Excellence (APEX) dan Research University (RU) yang telah diberikan kepada USM,” kata Azazi.
Di sesi yang berasingan dalam program yang sama Azazi turut menekankan agar lebih banyak perubahan dalam menambahbaik sistem pejabat akan dapat dilakukan di antara pihak luar dan jabatan-jabatan di dalam USM.
Perkara ini seterusnya akan menjadikan objektif bengkel tercapai dan membawa Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan ke satu aras yang produktif dalam menyumbang kepada kecemerlangan USM di masa akan datang.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman