TERIMA KASIH PROF FARHAN, SELAMAT DATANG PROF AZAZI!
NIBONG TEBAL, 14 Mac 2017 – Pengarah Kampus Kejuruteraan yang juga merupakan Penolong Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah diraikan di dalam Majlis Sekalung Penghargaan di sini hari ini.
Profesor Ahmad Farhan akan memulakan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antrabangsa di Kampus Induk USM bermula pada 15 Mac 2017.
Beliau melalui ucapannya berharap agar Kampus Kejuruteraan akan sentiasa maju selaras dengan pencapaian-pencapaian cemerlang yang dikecapi dari tahun ke tahun sebelum ini.
“Kita perlu menunjukkan kepada mereka di luar sana bahawa kampus yang bertapak dengan asas kejuruteraan yang kukuh di Malaysia ini akan terus menjadi satu label yang dikagumi di masa akan datang,” tambah beliau.
Selain berperanan sebagai Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah Kampus sejak 1 Januari 2016 hingga 14 Mac 2017, Ahmad Farhan juga pernah memegang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam sehingga 28 Februari 2017.
Ahmad Farhan turut mengalu-alukan kedatangan Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang akan mula menjawat jawatan Pengarah Kampus pada 15 Mac 2017 dan menyatakan sokongan beliau akan perlantikan tersebut.
“Saya berkeyakinan bahawa kepimpinan Profesor Dr. Azazi selepas ini akan memacu kampus ini ke arah yang lebih baik dan kita selepas ini akan sentiasa mendaki ke aras yang lebih tinggi,” kata Ahmad Farhan.
Turut hadir adalah Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai Dan Saliran Bandar, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Timbalan Pendaftar di Jabatan Pendaftar, Rohilatifah baharum@Harun, Pengarah Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (serc), Profesor Dr. Zainal Arifin Bin Mohd Ishak serta dekan-dekan pusat pengajian.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin