MAJLIS PERPISAHAN DAN PENGHARGAAN PELAJAR LATIHAN INDUSTRI PEJABAT PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN: TERIMA KASIH DANIAL!
NIBONG TEBAL, 14 Ogos 2024 – Sebuah majlis perpisahan dan penghargaan bagi meraikan pelajar latihan industri, Danial Asyraf Zulkefli telah dianjurkan oleh Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) sempena latihan industri beliau yang akan berakhir pada 16 Ogos ini.
Majlis ini dihadir turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Kampus, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin diadakan bagi menghargai dedikasi Danial sepanjang tempoh latihan industrinya di Pejabat Pengarah Kampus sejak 4 Mac 2024 lalu.
Selain berterima kasih atas sumbangan Daniel dalam tugasan di Pejabat Pengarah, khususnya dalam pengurusan pejabat, Profesor Datin Dr. Azlina dalam ucapannya turut memuji komitmen yang ditunjukkan pelajar berusia 23 tahun tersebut sepanjang tempoh latihan.
“Semoga perjalanan dan latihan yang diterima selama lima bulan di pejabat pengarah ini dapat memenuhi keperluan serta objektif seperti yang digariskan oleh universiti beliau iaitu, Universiti Teknologi Mara (UiTM),” kata Azlina.
Selain daripada itu, beliau sempat menitipkan beberapa nasihat kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat ini, khususnya untuk Danial menerapkan nilai Grit, iaitu kesungguhan yang berterusan dalam diri untuk kekal cemerlang kelak.
“Jadikan ia sebahagian daripada personaliti diri Danial, iaitu untuk kekal bersemangat dalam mengejar setiap matlamat pada masa hadapan walaupun cabaran dan halangan itu akan sentiasa ada,” pesan beliau kepada anak sulung dari tiga bersaudara tersebut.
Dalam ucapannya pada majlis yang dihadiri oleh semua staf Pejabat Pengarah ini, Danial menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga beliau kepada semua pihak yang telah membimbing dan memberi sokongan kepadanya sepanjang tempoh latihan industri di USM.
“Terima kasih atas keramahan, layanan dan kerjasama baik yang diberikan sepanjang lima bulan berada di sini, saya doakan yang terbaik untuk semua, semoga Pejabat Pengarah Kampus akan terus sukses selepas ini,” kata Danial.
Majlis perpisahan dan penghargaan ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada Profesor Datin Dr. Azlina kepada Danial sebagai tanda penghargaan serta kenang-kenangan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman