TIGA DEKAD BERKHIDMAT DI USM, SELAMAT BERSARA KAK TI!
NIBONG TEBAL, 9 Mei 2025 – Penolong Jurutera di Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Puan Sahlawati Azmi hari ini menamatkan perkhidmatannya secara rasmi dalam satu majlis meraikan persaraan beliau di sini hari ini.
Memulakan kerjaya bersama USM pada 3 Januari 1995 di Kampus Cawangan Perak, Tronoh, sebelum berpindah ke Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal sekitar April 2001, Puan Sahlawati menamatkan perkhidmatan pada 9 Mei 2025 dengan rekod perkhidmatan selama 30 tahun, 4 bulan dan 6 hari.
Dalam ucapan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha menyifatkan Puan Sahlawati sebagai seorang warga kerja yang banyak menyumbang bukan sahaja kepada Pejabat Pengarah, tetapi juga kepada USM secara keseluruhan.
“Sepanjang perkhidmatan, pasti banyak pengalaman pahit dan manis yang telah dilalui,” ujar beliau.
“Namun, marilah sama-sama kita fokus kepada kenangan manis dan aspek positif yang telah mewarnai perjalanan kerjaya beliau di sini sahaja,” tambah Mariatti.
Selain mengucapkan selamat bersara, Pengarah Kampus turut mendoakan agar Puan Sahlawati dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat menikmati hari-hari mendatang bersama keluarga.
Puan Sahlawati dalam ucapannya turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas segala kenangan yang ditempuh bersama rakan-rakan sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat di USM.
“Setelah lebih 30 tahun berkhidmat, pelbagai suka dan duka telah dilalui bersama rakan-rakan,” katanya.
“Semangat kebersamaan dalam menjalankan tugas selama ini juga telah menjadi pemangkin kepada hubungan yang erat antara saya dan rakan-rakan di tempat kerja,” tambah beliau.
Majlis persaraan turut diserikan dengan sesi penyampaian cenderamata serta ucapan daripada rakan-rakan dari Pejabat Pengarah, dalam mengenang jasa dan budi Puan Sahlawati sepanjang perkhidmatannya.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman