LATAR BELAKANG

Kronologi

Bermula pada bulan Mei 1986, penubuhan Kampus Sementara Cawangan Perak bertempat di Bangunan Lama Majlis Perbandaran, Ipoh maka bermulanya sejarah penubuhan Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan. Profesor Madya Dr. Mohd Muslim Mohd Yusoff merupakan Pengarah Kampus yang pertama telah dilantik pada ketika itu untuk memastikan pengoperasian dan pentadbiran USM KCP berjalan lancar.

Legasi Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan diteruskan di  Nibong Tebal, Pulau Pinang yang dipindahkan dari kampus sebelumnya iaitu Seri Iskandar, Perak pada bulan Mei 2001. Bermula dengan seorang Pegawai Tadbir (N41) dan seorang Setiausaha dibantu oleh Pembantu Tadbir (P/O), Pembantu Tadbir Rendah serta Pembantu Am Pejabat.

Perkembangan pejabat ini mengalami beberapa perubahan mengikut keadaan semasa. Bermula 1 April 2002 Exco Universiti memutuskan bahawa Pengarah Kampus Kejuruteraan yang baru tidak akan dilantik untuk menggantikan Profesor Dr. Kamarudin Hussin yang dipinjamkan ke Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM).

Berikutan dengan itu, berdasarkan kepada perjumpaan khas pada 10 Mei 2002 yang dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Sabarudin Mohd bersama Dekan dan Ketua Jabatan telah bersetuju supaya Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Kampus Kejuruteraan (JPPKK) ditubuhkan. Jawatankuasa ini bertindak sebagai perantara diantara Kampus Kejuruteraan dengan Naib Canselor.

Semasa tempoh pembubaran ini berlaku, tugas Pengarah Kampus telah diambil alih oleh Penyelaras yang dilantik oleh Naib Canselor. Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed merupakan dua tokoh yang pernah menjadi Penyelaras Kampus Kejuruteraan.

Kesan pembubaran turut dirasai oleh beberapa staf Pejabat Pengarah dimana Pegawai dan Pembantu Tadbir  telah diserap ke Jabatan Pendaftar yang pada ketika itu adalah dibawah seliaan Puan Jamahyah Basiron selaku Timbalan Pendaftar manakala Setiausaha Pengarah Kampus telah ditempatkan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan Pembantu Am Pejabat ditempatkan di BHEPP.

Namun begitu, berdasarkan keputusan pihak pengurusan universiti, Pejabat Pengarah kembali diwujudkan pada tahun 2009 dibawah pentadbiran Profesor Dr. Khairun Azizi Mohd Azizli selaku Pengarah Kampus diikuti dengan Profesor Dr. Abd Aziz Tajudin, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak dan kini  diterajui oleh Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Sepanjang tempoh kewujudannya seramai lapan (8) orang Pengarah Kampus telah menjadi peneraju tampuk pimpinan Kampus kejuruteraan manakala enam (6) orang Pegawai Tadbir telah mengetuai pejabat ini.

Pada masa sekarang Jabatan ini diketuai seorang (1) Ketua Jabatan,  seorang (1) Pegawai Tadbir, seorang (1) Setiausaha Eksekutif, seorang (1) Penolong Pegawai Tadbir, seorang (1) Pereka, dua (2) orang Pembantu Tadbir  dan seorang (1) Pemandu.

Terdapat juga seramai 8 orang Penolong Jurutera dibawah seliaan Pejabat Pengarah yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara Kompleks Dewan Kuliah dan Dewan-Dewan yang tertentu di Kampus ini. Kesemua Penolong Jurutera ini adalah merupakan staf teknikal daripada Unit Perkhidmatan Akademik (UPA) yang telah dibubarkan pada tahun 2003 dan ditempatkan dibawah Jabatan Pendaftar sebelum diserap dibawah seliaan Pejabat Pengarah.

Pejabat Kualiti Akademik dan Akreditasi juga merupakan cabang seliaan Pejabat Pengarah yang terdiri daripada seorang Penyelaras, seorang Setiausaha Eksekutif dan seorang Pembantu Tadbir. Walau bagaimanapun, pejabat ini terletak berasingan dengan Pejabat Pengarah iaitu di Bangunan Kantin, Pusat Kakitangan dan Pelajar (ST) bersebelahan dengan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.