LEGASI PEMIMPIN BERPANDANGAN JAUH PROFESOR DATO’ DR. NOR AZAZI ZAKARIA DI KAMPUS KEJURUTERAAN USM

DSC 0220

NIBONG TEBAL, 10 April 2023 – Persaraan Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria sebagai Pengarah Kampus dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai Dan Saliran Bandar (REDAC) Kampus Kejuruteraan meninggalkan legasi beliau sebagai seorang pemimpin berpandangan jauh.

Dato’ Azazi pernah mencipta sejarah tersendiri apabila REDAC, di bawah pimpinan beliau dianugerahkan sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) pertama dalam Teras Perkhidmatan pada tahun 2014 dengan bidang khusus mengenai Pengurusan Air Ribut Mampan di kawasan bandar.

Malah, beliau pernah memegang tampok sebagai satu-satunya rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung dalam proses bidaan untuk Kongres Air bertaraf dunia di Chengdu, China dan seterusnya berjaya menganjurkan Kongres Dunia IAHR ke-37 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 2013.

Blank 4 Grids Collage

29 tahun menabur bakti sebagai kakitangan akademik Universiti Sains Malaysia (USM), beliau juga merupakan perintis yang merekabentuk dan menyelia Pembinaan Sistem Saliran Bio-Ekologi atau sistem pengurusan air yang lestari di dalam kawasan Kampus Kejuruteraan USM pada tahun 2001 di mana ianya juga merupakan Pilot Projek Negara Dalam Kelestarian Pengurusan Air Hujan.

Melalui sistem tersebut yang dikenali sebagai Bio-Ecologial Drainage Systems (BIOECODS), yang pertama dibangunkan di Malaysia, beliau dan pasukan telah berjaya merekabentuk sistem yang sama di seluruh negara termasuk mega projek 2300 ekar Kwasa Damansara di Sungai Buloh, Selangor.

Tidak hanya itu, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi sebagai seorang ilmuan juga telah berjaya menjadikan REDAC sebagai Pusat Rujukan dan khidmat nasihat kepada kerajaan Malaysia mengenai isu keselamatan dan sekuriti air di Malaysia pada masa kini melalui pelantikan beliau sebagai Pemegang Kursi UNESCO dalam Ecohydraulics for Sustainable Water Infrastructures for SDG 6 in the Asia and the Pacific Region.

Blank 4 Grids Collage 1

Melalui pelantikan ini, beliau turut bertanggungjawab dalam mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kaedah pengawalan pencemaran air dan kaedah rawatan air di rantau ini sambil memberi khidmat nasihat kepada kerajaan dan agensi berkenaan Pengurusan hujan untuk menangani insiden banjir kilat di kawasan perbandaran negara terutamanya.

“Saya sukakan pekerjaan saya,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan kepada Dekan-dekan, Ketua-ketua Jabatan dan semua tetamu yang hadir dalam satu majlis ringkas namun penuh istimewa di Dewan Seminar Kampus Kejuruteraan.

Menurut anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan tahun 1963 ini, tindakannya dalam menjadikan kerjaya sebagai hobi inilah yang telah meletakkan beliau di kedudukan seperti hari ini terutamanya sepanjang berkhidmat di USM tanpa perlu memikirkan akan penat serta erti putus asa kerana setiap yang dilakukan adalah berlandaskan kepada minat serta bukan kerana terpaksa.

Blank 6 Grids Collage

Selain daripada itu, beliau turut berharap agar semua pihak untuk sentiasa mengamalkan budaya perkongsian ilmu pengetahuan sambil berlapang dada untuk belajar menerima kekurangan daripada mereka yang berada di sekitar kita kerana kelak kita akan beroleh pahala daripada Allah SWT.

Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria memulakan khidmat di USM pada 12 Disember 1994 sebaik pulang daripada pengajiannya di University of Newcastle Upon Tyne, England dan hari ini iaitu 10 April 2023 merupakan hari terakhir beliau menjalankan tugas sebagai pendidik, mentor dan Pengarah di hati semua warga Kampus Kejuruteraan terutamanya.