KOMITED DALAM AGENDA KELESTARIAN DAN PENGURUSAN HIJAU, PEJABAT PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN RAIH LIMA DAUN

USM PULAU PINANG, 23 Disember 2025 - Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya meraih penarafan tertinggi lima daun dalam Majlis Penarafan Pejabat Hijau USM 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Pencapaian ini merupakan peningkatan daripada penarafan empat daun yang dicapai pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan staf Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan terhadap agenda kelestarian dan pengurusan hijau kampus.
Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, berkata kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama padu antara bahagian pentadbiran dan teknikal di bawah Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan.
“Pencapaian ini merupakan satu penanda aras baharu terhadap keupayaan Pejabat Pengarah untuk terus melaksanakan amalan pengurusan pejabat yang mampan, sistematik dan berimpak tinggi di masa akan datang,” ujar beliau.


“Malah, ianya mencerminkan kesungguhan semua staf dalam menambah baik proses kerja, pengurusan tenaga, pengurangan sisa serta pematuhan kepada garis panduan Pejabat Hijau USM,” tambah Profesor Ir. Dr. Mariatti.
“Selain daripada itu, pendekatan yang digunakan ini juga adalah selari dengan hala tuju universiti dalam memperkukuh amalan kelestarian dalam operasi harian jabatan,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau berharap agar Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan akan terus mengekalkan momentum sedia ada melalui penglibatan berterusan semua pihak bagi memperkasakan budaya kerja yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Majlis Penarafan Pejabat Hijau USM merupakan inisiatif universiti untuk mengiktiraf pejabat yang mengamalkan prinsip kelestarian dalam operasi harian, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan agenda kampus hijau USM.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abd Rahman