LAHIRKAN JURUTERA MASA HADAPAN

Lahirkan Jurutera DSC0751

NIBONG TEBAL, 28 Ogos 2016 – “Kami berada di sini adalah untuk memupuk seterusnya melahirkan bakal-bakal jurutera yang terbaik dan boleh bersaing di peringkat dunia suatu hari nanti”, kata Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Penolong Naib Canselor juga merupakan Pengarah, Kampus Kejuruteraan USM ketika majlis bersama pelajar baharu yang mendaftar diri di sini hari ini.

Ahmad Farhan, mengucapkan tahniah kepada mereka kerana telah membuat pilihan tepat iaitu Universiti Sains Malaysia sebagai destinasi dalam mencari ilmu yang merupakan sebuah Universiti Apex dan Universiti Penyelidikan yang pertama di Malaysia.

Lahirkan Jurutera DSC0753

“Anda semua telah dipilih dalam kalangan begitu ramai rakan-rakan di luar sana dan kini anda telah datang dan bertemu di sini”, katanya lagi.

Jelasnya, pelajar perlu sedar harapan kedua ibu bapa dan keluarga yang bukan sahaja mahukan mereka berjaya dalam bidang yang diceburi, bukan sahaja hanya memegang ijazah selepas empat tahun dari sekarang malahan mereka inginkan supaya anak-anak mereka menjadi jurutera yang terbaik.

Lahirkan Jurutera DSC0756

Beliau juga menyeru supaya mereka dapat meningkatkan kematangan dalam erti kemerdekaan dan kaedah pembelajaran seperti mempunyai integriti yang tinggi khususnya hal penipuan bukan sahaja dalam peperiksaan malah dalam menyediakan tugasan.

Katanya lagi, amatlah penting untuk kita meningkatkan profesionalisme dan pembelajaran ke arah peningkatan pengetahuan serta pembelajaran ke arah kecekapan yang lebih tinggi dengan memenuhi pencapaian semua Hasil Program (PO) yang telah ditetapkan.

Lahirkan Jurutera DSC0757

Menurut beliau yang juga Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam itu berkata semua pelajar akan dilatih untuk mencapai Objektif Pendidikan Program (PEO) dan ia sangat berguna apabila mereka mula bekerja kelak.

“Saya harap anda semua letakkan matlamat untuk menamatkan pengajian dengan CGPA> 3.0 dan bekerja untuk itu dari sekarang”, tegasnya lagi kepada kira-kira 500 pelajar baharu bagi sidang akademik 2016/2017.

Lahirkan Jurutera DSC0758

Beliau juga berharap agar pelajar mendapatkan pengalaman kehidupan yang terbaik semasa berada di sini terutama bagi aspek-aspek seperti kemahiran komunikasi, penguasaan dalam bahasa Inggeris disamping memperoleh bahasa lain dan meningkatkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan serta keupayaan untuk bekerja dalam satu pasukan dan juga secara individu.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin