PROFESOR DATIN DR. AZLINA HARUN@KAMARUDDIN TIBA DI BANGUNAN PENTADBIRAN, MULA TUGAS SEBAGAI PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN USM KE-10

DSC 0255

NIBONG TEBAL, 1 Ogos 2023 – Profesor Datin Dr. Azlina Harun@Kamaruddin tiba di Bangunan Pentadbiran pagi ini bagi memulakan tugas rasmi beliau sebagai Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), yang berkuat kuasa hari ini.

Beliau, pada masa yang sama, menzahirkan ucapan penghargaan kepada mantan Pengarah Kampus terdahulu, Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria yang telah menyandang jawatan tersebut sejak dari 15 Mac 2017 hingga 10 April 2023.

“Terima kasih Dato’ Dr. Azazi di atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Kampus sebelum ini.

DSC 0274

DSC 0298

“Sebagai Pengarah Kampus, beliau bukan sahaja telah berjaya menggerakkan kampus ke arah yang lebih baik, tetapi turut cemerlang sebagai seorang profesor dalam bidang kepakarannya sehingga berjaya melonjakkan prestasi universiti pada pelbagai peringkat pada ketika itu,” kata Azlina.

Dalam sesi berlainan bersama Dekan-dekan Pusat Pengajian dan Ketua-ketua Jabatan, Azlina ketika menyorot akan peranan beliau untuk mengemudi Kampus Kejuruteraan selepas ini, positif dalam menyaksikan penglibatan bersama semua pihak sebagai tulang belakang kepada kampus.

“Namun demikian, fokus utama kita pada ketika ini adalah dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada warga kampus, bukan sahaja secara menyeluruh tetapi juga secara bersasar khususnya kepada pelajar yang kurang berkemampuan (B40).

“Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan untuk melakukan yang terbaik serta melaksanakan peranan Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing supaya setiap perancangan dijalankan dengan rapi,”

DSC 0300

DSC 0312

“Apa yang lebih penting adalah utuk memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan berkesan,” tambah Graduan Imperial College, University of London ini.

Selain daripada itu, Profesor Datin Dr. Azlina turut menyatakan, selaku pihak yang mentadbir kampus ini, kita perlu bertindak sebagai pusat kemudahan kepada semua pihak dalam mewujudkan satu proses gerak kerja yang cekap, seiringan dengan agenda APEX USM.

“Apatah lagi, walaupun matlamat asalnya adalah untuk menyelesaikan masalah, ianya perlu dilaksanakan tanpa membelakangkan setiap dasar dan peraturan universiti sambil terus bergerak ke hadapan,” tambah ibu kepada dua orang cahaya mata ini.

“Let’s do it with our style, our way!”

Profesor Datin Dr. Azlina mula berkhidmat di USM sejak tahun 1995 dan pernah menyandang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dari tahun 2010 hingga 2018 dan Pengarah Pusat Penyelidikan Sains Dan Kejuruteraan (SERC) pada tahun 2019 hingga 2021.

Susulan kepada pelantikan beliau sebagai Pengarah, Azlina akan menjalankan sesi lawatan berjadual ke setiap pusat pengajian dan PTJ yang ada di Kampus Kejuruteraan dalam masa yang terdekat.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman