PERTEMUAN EMPAT MATA PROFESOR DATIN DR. AZLINA HARUN@KAMARUDDIN DAN STAF PEJABAT PENGARAH DI HARI PERTAMA LANTIKAN SEBAGAI PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN KE-10

DSC 0234

NIBONG TEBAL, 1 Ogos 2023 – Hari pertama lantikan sebagai Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) ke-10, Profesor Datin Dr. Azlina Harun@Kamaruddin telah mengadakan pertemuan empat mata bersama enam orang staf pentadbiran dan lapan orang staf teknikal Pejabat Pengarahnya.

Pertemuan tersebut dimulakan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh mantan Pengarah ke-8 Kampus Kejuruteraan, Profesor Dato' Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang merupakan suami beliau, dan juga pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA).

Sejurus majlis doa selamat yang diadakan selepas sesi tazkirah tersebut, Profesor Datin Dr. Azlina memulakan amanat beliau dengan menggesa agar staf di Pejabat Pengarah memainkan peranan serta memaksimumkan fungsi jabatan selaku nukleus atau pusat pentadbiran di Kampus Kejuruteraan.

Menurut Profesor Datin Dr. Azlina, sebagai sebuah pusat pentadbiran yang menjadi rujukan semua pusat pengajian serta Pusat Tanggungjawab (PTJ) di kampus, staf Pejabat Pengarah perlu cepat bertindak dan sentiasa menjadi mata dan telinga beliau tentang keadaan kampus.

 copie 0 DSC 0245

 copie 0 DSC 0261

Selain daripada itu, beliau turut menyeru agar semua staf berkerja secara bersama dalam memperbanyakkan idea untuk memeriahkan serta menaikkan lagi nama Kampus Kejuruteraan di samping selalu bersedia dengan setiap cabaran yang diberikan oleh semua pihak.

Tambah Profesor Datin Dr. Azlina lagi, tanggungjawab yang diberikan ini juga tidak boleh dipandang ringan kerana beliau masih perlu memenuhi harapan serta jangkaan pelbagai pihak khususnya daripada Naib Canselor, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Bin Mohamed.

Selaku Pengarah, Profesor Datin Dr. Azlina turut menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang terbuka di samping sentiasa bersedia untuk berjumpa serta berbincang dengan staf jika diperlukan.

 copie 0 DSC 0265

“Saya tegas but I am also approachable” kata graduan Imperial College, University of London ini.

Profesor Datin Dr. Azlina mula berkhidmat di USM sejak tahun 1995 dan pernah menyandang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dari tahun 2010 hingga 2018 dan Pengarah Pusat Penyelidikan Sains Dan Kejuruteraan (SERC) pada tahun 2019 hingga 2021.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman